Klik saya

Tuesday, August 3, 2010

TIADA PERHAMBAAN DALAM KONSEP KETUANAN MELAYU


Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang Di Pertuan Agong dalam menjaga hak keistimewaan orang-orang Melayu dan penduduk asal Malaysia. Secara  keseluruhannya orang-orang Melayu dan penduduk asal Malaysia ini dirujuk sebagai 'Bumiputera'. Artikel ini juga menyentuh tanggungjawab kerajaan pusat yang berkuasa  untuk melindungi kepentingan kumpulan Bumiputra ini dengan menyediakan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa dan penyediaan pendidikan awam.

Ini boleh dianggap sebagai 'Social Contract' kerajaan kepada kumpulan bumiputra secara tidak langsung pertahanan perundangan bagi pihak mereka. Namun ini biasanya dirujuk sebagai Ketuanan Melayu. Kamus Dewan mentakrifkan istilah ‘ketuanan’ sebagai membawa maksud hak menguasai dan memerintah sama ada sesebuah negeri, daerah dan sebagainya. Istilah ‘ketuanan’ juga dirujuk sebagai kedaulatan.

‘Ketuanan’ berbeza dengan perkataan ‘tuan’ yang membawa maksud orang tempat menghambakan diri sebagai contoh apa yang berlaku di Amerika pada masa dahulu yang mana orang kulit putih menjadi tuan kepada hamba abdi terdiri daripada mereka yang berkulit hitam yang juga dikenali sebagai bangsa Negro.


Oleh itu apabila dibangkitkan bahawa istilah ketuanan Melayu kononnya membawa maksud kekuasaan Melayu dalam konteks sehingga boleh menghambakan bangsa lain, ini adalah kesimpulan yang tidak tepat dan ia perlu diperbetulkan.  Bukan sahaja maksud ketuanan Melayu ini telah disalahertikan oleh orang bukan Melayu, malah secara realitinya boleh dilihat dengan jelas siapa sebenarnya yang menjadi ‘hamba’ kepada siapa.

Hakikatnya, kebimbangan istilah ketuanan Melayu kononnya menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan kaum-kaum bukan Melayu mestilah berasaskan kepada fakta yang berpijak di bumi nyata. Sehubungan itu, rakyat negara ini tidak perlu terlalu sensitif terhadap istilah ketuanan Melayu sebaliknya mereka harus melihat perkara itu secara positif dari sudut sejarah dan perlembagaan negara. Apa yang paling penting, setiap rakyat perlu memahami bahawa maksud ketuanan Melayu itu, tidak bermakna kaum Melayu adalah tuan dan bukan Melayu adalah hamba.



Istilah Ketuanan Melayu ini merujuk kepada sejarah bahawa negara ini pernah diperintah Sultan dan Raja-raja Melayu, yang merupakan tuan kepada tanah Melayu yang sudi memberikan kuasa mereka kepada rakyat melalui penerimaan sistem Raja Berperlembagaan, memandangkan mengikut perlembagaan negara, Sultan dan Raja-Raja Melayu adalah simbol kepada ketuanan Melayu di negara ini, seperti mana di negara-negara barat lain yang mempunyai Raja.

Kita sendiri tidak tahu mengapa perlunya ada ketakutan terhadap ketuanan Melayu, ianya muncul secara tiba-tiba terutamanya dalam keadaan orang bukan Melayu menikmati kehidupan yang cukup sempurna di negara yang satu ketika dulu bernama Tanah Melayu. Walhal menurut sejarah telah membuktikan bahawa Melayu tidak pernah memperhambakan kaum-kaum lain pada bila-bila masa sekali pun. Melayu berjuang membebaskan tanah air daripada belenggu penjajah bukan demi kepentingan Melayu semata-mata tetapi untuk semua bangsa.



Hasil kemerdekaan dan kemakmuran Tanah Melayu telah dikongsi dengan kaum-kaum lain demi memastikan perpaduan dan kemakmuran sentiasa terjalin dengan kukuh serta sentiasa bertolak ansur dan beralah demi menjaga hati saudara yang bukan sebangsa yang menjadi rakyat di negara ini.



Catatan dalam Artikel 153 Perlembagaan Malaysia juga bukanlah bermakna skuasa veto itu terletak di tangan bangsa Melayu sepenuhnya, dalam menyediakan Hak Istimewa kepada ketuanan Melayu, bangsa-bangsa lain juga bebas memperjuangkan ‘ketuanan’ mereka masing-masing samada dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

Mereka bebas untuk mengamalkan budaya dan cara hidup sendiri, bebas dalam meningkatkan taraf ekonomi kaum, bebas beragama, bebas meneruskan sistem pendidikan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dengan mengekalkan pengajaran bahasa ibunda masing-masing dan sebagainya. Faktor ini membuktikan bahawa konsep Ketuanan Melayu itu, bukanlah satu konsep yang mengiktiraf bahawa bangsa Melayu itu menjadi tuan, sementara kaum-kaum lain menjadi hamba kepada bangsa Melayu.

Cuba kita cari negara mana di dunia ini yang memberi kelonggaran seluas ini sedangkan bukankah orang yang mendatang mesti menyesuaikan diri dengan negara yang dikunjunginya. Kita wajar mengakui bahawa Melayu dominan dari segi politiknya dan hak-hak Melayu dilindungi di sisi Perlembagaan, tetapi sejauh mana benarnya istilah ketuanan Melayu bermaksud menghambakan kaum lain mesti dijawab oleh pihak yang berkenaan.

Kita tidak pernah terlepas pandang bagaimana harmoninya rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum menjalani kehidupan seharian. Keharmonian ini mesti dizahirkan secara jujur dan ikhlas, agar tiada wujud rasa sangsi dan iri hati sehingga istilah ketuanan Melayu yang telah digunakan turun temurun itu pun mendatangkan masalah.

Mungkin benar mata pelajaran sejarah diberi pendedahan seluas-luasnya dan mesti diwajibkan di semua peringkat dan aliran, supaya rakyat lebih memahami apa makna sebenar ketuanan Melayu. Bangsa-bangsa lain masih ada ketuanan di negara asal mereka tetapi Melayu inilah negara tanah tumpah bangsa Melayu. Tiada dua jauh sekali tiga, oleh itu kekalkan istilah ketuanan Melayu.

No comments:

Post a Comment

Disclaimer on posted comments by others:

The blog owner takes no responsibilities on the contents of comments posted by visitors. All comments may be edited for clarity and unsuitable or offensive comments will not be displayed. In order to maintain the value of this blog and to reduce automated postings, the owner of this blog may from time to time close a discussion to further comments.

Please keep your contributions civil, tasteful and relevant. For the purpose of maintaining the value of this blog, you are required to consider the following prior to posting your comments:

* Do not post messages that are unlawful, harassing, defamatory, abusive, threatening, harmful, obscene, profane, sexually oriented, or racially offensive.

* Only post messages once, do not re-post the same message or very similar messages.

* Protect your privacy. Do not post personal information, including addresses, place of employment, telephone numbers, or email addresses.

* Keep your posts relevant so that the flow and value of discussions can be upheld.

* Do not advertise or promote products or services, or post web links (URLs).